Pondok sampah tak berfungsi
![]() |
Akibat pondok sampah yang berkunci menyebabkan orang ramai terpaksa membuang sampah di luar pagar sekitar kawasan Flat Taman Sri Stulang, Johor Bahru. |
SEBAGAI Ketua Blok Taman Sri Stulang di Johor Bahru, saya amat kecewa dengan masalah pondok rumah sampah di blok J yang masih tidak digunakan. Malahan ia dikunci oleh pihak tertentu.
Justeru penduduk tiada tempat untuk membuang sampah secara teratur, mengakibatkan kawasan menjadi kotor. Ini disebabkan terdapat segelintir mereka yang tidak mempunyai pilihan terpaksa membuang sampah di tepi dan luar pagar pondok sampah.
Selain itu ia juga menyebabkan masalah kebersihan dan berbau busuk sekali gus mengundang kehadiran lalat, tikus dan pembiakan nyamuk yang serius sehingga menjejaskan kehidupan penduduk.
Masalah lain yang timbul berikutan masalah sampah itu antaranya berkaitan dengan kesihatan setempat seperti risiko demam denggi, keracunan makanan dan pencemaran alam sekitar oleh bau busuk sampah.
Sampah tersebut semakin banyak dari sehari ke sehari hingga bertimbun kerana tiada pihak tertentu yang mengangkut atau membersihkan secara sistematik.
Sehubungan itu, saya mewakili penduduk Blok Taman Sri Stulang mencadangkan agar pondok sampah untuk kemudahan penduduk berkenaan dapat dibuka segera supaya ia dapat berfungsi dengan betul.
Saya meminta pihak berkuasa atasan menyelesaikan segala perkara berbangkit berhubung masalah itu termasuk menyerahkan hak milik pondok sampah tersebut kepada pihak pengurusan untuk digunakan.
Ini semua adalah kerenah birokrasi yang tidak sepatutnya berlaku kerana kami telah tinggal sejak dua tahun lalu tanpa pengurusan sampah yang sempurna.
Para penduduk hairan kerana perkara asas mengenai isu kebersihan itu gagal ditangani oleh pihak berwajib walaupun aduan sudah berulang kali dikemukakan.
Terdapat juga satu pondok sampah yang dibuka tetapi kedudukannya terlalu jauh hingga menyusahkan penduduk khususnya warga emas untuk membuang sampah setiap hari.
Walaupun para penduduk berasa geram, tetapi masih boleh bersabar dengan mengambil inisiatif bergotong-royong beberapa kali untuk membersihkan longgokan sampah.
Persoalannya, sampai bila masalah ini hendak selesai sedangkan kemudahan pondok sampah tidak berfungsi mengikut matlamat pembinaannya!
- SUBHI SAAD Ketua Blok Flat Sri Stulang
Tiada ulasan:
Catat Ulasan