Selasa, 9 Oktober 2012

CUKAI TAKSIRAN

PEMBERIAN DISKAUN CUKAI TAKSIRAN KEPADA PEMILIK PANGSAPURI KOS RENDAH
MAJLIS PERBANDARAN KAJANG

SYARAT-SYARAT KELAYAKAN
Pemberian diskaun kadar cukai taksiran untuk pangsapuri kos rendah ini tertakluk kepada
syarat-syarat kelayakan seperti berikut :
i) Pemilik yang bermastautin atau mendiami sendiri petak/unit di sesebuah pangsapuri
kos rendah.
ii) Hakmilik strata hendaklah dikemukakan sebagai bukti dokumen pemilikan rumah
untuk mendapat PERAKUAN SAH PEMASTAUTIN daripada mana-mana Pihak
Berkuasa seperti berikut :
• Badan Pengurusan Bersama (Pengerusi/Setiausaha)
[Joint Management Body (JMB)];
• Majlis Perbadanan Pengurusan [Management Corporation (MC)];
• Pesuruhjaya Bangunan [Commissioner Of Building (COB)]; atau
• Ahli Majlis Pihak Berkuasa Tempatan.
Walau bagaimanapun, bagi pemilik yang tiada atau masih belum membuat pindah
milik hakmilik strata boleh mengemukakan surat perjanjian jual beli sebagai bukti
dokumen pemilikan rumah.
iii) Pemilik tidak mempunyai tunggakan cukai taksiran pada petak berkaitan. Sila bawa
resit bayaran cukai taksiran bagi yang telah menjelaskan cukai semasa.
iv) Waris pemilik juga layak mendapat pengurangan diskaun (sama ada pemilik masih
hidup atau telah meninggal dunia). Sila bawa Sijil Kematian Pemilik atau serahkan
Borang J (tukar milik).
v) Permohonan boleh dibuat bermula pada 15 Oktober 2012.
KAEDAH PEMBERIAN DISKAUN
i) Pemberian diskaun akan diberikan secara terus (automatik) apabila pemilik membuat
bayaran di kaunter Pihak Berkuasa Tempatan beserta Borang Perakuan Pemastautin Pemilik
(BPPP 1/2012).
ii) Bagi pemilik yang telah membayar cukai taksiran tahun 2012 sepenuhnya, pemberian
diskaun akan dibawa ke penggal pertama tahun 2013 (bulan Januari sehingga Jun).

TARIKH KUATKUASA
Tarikh kuatkuasa perlaksanaan dasar diskaun kadar cukai taksiran kepada pemilik petak
pangsapuri kos rendah di seluruh negeri Selangor bermula penggal kedua cukai taksiran tahun
2012 (bulan Julai sehingga Disember).

Jumaat, 26 November 2010

Penghuni PPR puji tindakan tegas DBKL

DESA TUN RAZAK - Penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak menyambut baik ketegasan yang diambil pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan tiga keluarga bermasalah di kawasan itu. Pengerusinya, Anuar Sudin berkata, apa yang dilakukan pihak Jabatan Pengurusan Perumahan DBKL itu adalah wajar kerana kehadiran mereka di sini mengundang banyak masalah. “Mereka telah melanggar syarat dan peraturan penyewaan yang mana ada antara ahli keluarga mereka yang terlibat suka merosakkan dan mencuri harta benda awam. “Selain itu mereka juga didakwa mencuri kabel elektrik dan besi penutup longkang sehingga mengakibatkan penduduk menghadapi suasana gelap di kawasan koridor serta tangga,” katanya. Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan yang diambil pihak DBKL berhubung isu kacau ganggu sebagaimana laporan Sinar Harian 21 November lalu. Anuar berkata, lebih menggusarkan lagi, bukan sahaja kes ragut berlaku di sini, malah rumah kosong di kawasan ini juga dijadikan sarang penagihan dadah dan pelacuran mereka yang tidak bertanggungjawab. Menurutnya, akibat perbuatan tidak bertanggungjawab itu, pihak DBKL terpaksa menanggung kerugian jutaan ringgit setiap tahun bagi membaiki kerosakan yang berlaku. Terdahulu, Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan, Sukiman Surahman dalam kenyataan beliau berkata, pihaknya telah mengeluarkan notis berpindah kepada tiga keluarga yang didakwa menyebabkan kacau ganggu. Katanya, dua daripada mereka telah pun keluar manakala satu keluarga lagi masih belum berbuat demikian. Sukiman berkata, tindakan itu adalah disebabkan kesalahan mereka yang berulang kali sehingga menyebabkan berlakunya keadaan kacau ganggu kepada penduduk setempat. “Kes tersebut juga telah menjadi kes polis dan sebanyak 27 keluarga di sini dalam pemerhatian kami di atas perbuatan mereka yang mendatangkan masalah kepada penduduk lain,” katanya. Sementara itu, Anuar berkata, pihaknya merasa lega apabila mereka yang sering mendatangkan masalah di kawasan ini telah diarahkan berpindah. “Melalui cara ini juga sedikit sebanyak memberi pengajaran dan peringatan kepada penduduk di sini agar tidak melakukan perkara yang boleh mengundang masalah kepada orang lain. “Walaupun masih terdapat masalah di kawasan ini tetapi ia telah berkurangan daripada sebelum ini,” katanya. Menurutnya, jawatankuasa persatuan penduduk, Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) akan mengadakan rondaan setiap malam bagi membanteras masalah yang berlaku dan membantu pihak berkuasa menanganinya
Drag and drop me

Selasa, 28 September 2010

Akta JMB perlu dikaji semula

Akta JMB perlu dikaji semula

PETALING JAYA - Datuk Bandar Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Datuk Roslan Sakiman berkata akta badan pengurusan bersama (JMB) yang diguna pakai Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di Parlimen hari ini perlu dikaji semula.

Menurutnya, beliau mendapati akta JMB sedia ada menjadi bebanan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berperanan sebagai Commisioner of Buildings (COB) tidak mempunyai kuasa sepenuhnya menyelesaikan masalah dihadapi penduduk kediaman bertingkat.

Katanya, cadangan supaya kementerian menubuhkan sebuah badan bebas mengendalikan JMB sepenuhnya mampu mengatasi kemelut yang dihadapi pemilik kediaman bertingkat dan bukannya meletakkan bebanan kepada PBT semata-mata.

“Kami hanya majlis daerah tempatan sedangkan kelulusan sepenuhnya daripada agensi kerajaan berhubung keseluruhan proses pembinaan kediaman bertingkat daripada peringkat awal sehinggalah bangunan kediaman siap sepenuhnya.

“Selain itu, kekurangan kakitangan profesional menjalankan tugas sebagai COB adalah salah satu punca kelemahan akta JMB, macam mana kita nak jalankan siasat penuh ke atas akaun pemaju, sebagai contoh, dalam akta JMB sedia ada boleh lantik pegawai audit luar, tetapi dipertikaikan kementerian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penutup program sesi dialog Selangor Blueprint 2011-2013 bersama penduduk di Dewan Banquet MBPJ, baru-baru ini.

Difahamkan program berlangsung selama lima jam itu turut dihadiri presiden persatuan penduduk, NGO dan kakitangan swasta.

Sementara itu beliau berkata, kementerian perlu mengambil contoh langkah pentadbiran kerajaan Singapura menubuhkan badan bebas JMB memantau masalah bangunan retak, sistem penyelenggaraan secara sistematik.

Roslan berkata, isu dihadapi kebanyakan penduduk yang memiliki kediaman di kawasan status bandaraya telah lama berlanjutan.

“Antari lokasi kediaman bertingkat dikenal pasti adalah di Damansara Perdana, Bukit Lanjan dan sekitar Petaling Jaya. Selain itu, beberapa buah negeri antaranya Johor, Pulau Pinang dilaporkan mengalami masalah berbangkit isu tersebut,” katanya.

Difahamkan, kemelut yang melibatkan pemaju, penduduk, agensi penguatkuasaan dan agensi kerajaan itu telah lama berlaku.