Flat kotor, penduduk sengsara SEGAMBUT – Kotor dan tidak selesa! Itu rungutan yang senstiasa diutarakan penduduk di Flat Kos Rendah Jalan Udang Harimau dekat sini, malah mereka turut dibebani dengan bil tunggakan air berjumlah ribuan ringgit. Penduduk mendakwa pihak pengurusan tidak menjalankan tanggungjawab apabila bil air tidak diserahkan kepada penduduk setiap bulan sehingga menyebabkan mereka dibebani bil tunggakan. Tinjauan Sinar Harian mendapati kawasan di flat yang mempunyai 200 unit rumah itu tidak terurus, di mana sampah sarap dilonggokkan di premis kosong bangunan itu. Seorang penduduk yang ditemui, L Savatharajnair, 33, berkata, penduduk tidak akan menanggung tunggakan bil air yang banyak sekiranya pihak pengurusan menyerahkan bil air setiap bulan kepada penghuninya. ”Mereka tidak pernah serahkan bil kepada penduduk sejak pihak pengurusan baru mengambil alih dua tahun yang lalu menyebabkan masalah bil air tertunggak ini timbul. "Saya turut terkejut apabila diberitahu saya mempunyai tung-gakan bil air dan penyelenggaraan berjumlah RM2,900 malah flat ini masih menggunakan meter pukal berikutan masalah spesifikasi paip yang digunakan di sini,” katanya. Menurutnya, dia tidak pernah menerima bil air daripada pihak pengurusan dan apa buktinya yang menyokong tentang isu tunggakan bil air itu sedangkan kami tidak pernah menerima sebarang bil daripada pihak terbabit. Manakala bekas pesara ten- tera, N Manchor, 50, berkata, dua anaknya diserang denggi tahun lalu disebabkan kawasan flat di situ yang tidak terurus sehin-gga menjadi pusat pembiakan nyamuk Aedes. ”Kami sudah membuat aduan kepada pihak pengurusan dan pihak berwajib berhubung perkara ini, namun tiada sebarang tindakan diambil pihak terbabit,” katanya. Menurutnya, dia khuatir sekiranya masalah kebersihan di flat itu tidak diambil berat, nes-caya akan menjadi bertambah parah seterusnya mengancam kesejahteraan penduduk di sini. Selain itu penduduk turut tidak berpuas hati apabila pihak pengurusan didakwa tidak menjaga kebersihan kawasan menyebabkan mereka mempertikaikan bayaran penyelenggaraan sebanyak RM50 setiap bulan. sumber: sinar harian |
Jumaat, 28 Mei 2010
MPAJ roboh binaan haram
Pegawai Perhubungan Awam MPAJ, Norhayati Ahmad berkata, tindakan tegas turut dikenakan ke atas pemilik unit berkenaan kerana melakukan pengubahsuaian tanpa kebenaran.
Pemilik unit berkenaan telah membuat penambahan di belakang rumahnya dan mengambil ruang kaki
Beliau menjelaskan, di bawah Akta Hakmilik Strata 1985, pemilik dilarang sama sekali untuk mengubah, menambah rupa bentuk dan struktur ke atas bangunan sedia ada sebagaimana yang terdapat dalam Perjanjian Jual Beli.
Jelas beliau, tindakan meroboh itu dilakukan setelah pihak MPAJ membuat empat lawatan dan menyerahkan notis amaran supaya membuka atau merobohkan binaan tambahan, yang terakhir pada 19 Mei lalu.
MPAJ juga, katanya, telah memberikan notis agar kerja-kerja pembinaan dihentikan serta-merta tetapi dalam tiga lawatan awal, pihaknya mendapati pemiliknya masih berdegil.
Norhayati memberitahu, pemilik unit berkenaan hanya memberhentikan kerja-kerja pembinaan apabila pihak MPAJ membuat lawatan keempat untuk menyerahkan notis perobohan.
"Sebanyak 15 anggota penguat kuasa MPAJ diketuai oleh Penolong Pegawai Penguat Kuasa Rosli Jaafar terlibat dalam kerja-kerja perobohan itu, yang dijalankan pada Selasa lalu," katanya.
Tindakan berkenaan, tegasnya, adalah amaran kepada penduduk terutama di aras bawah yang membuat penambahan sehingga menghalang laluan serta mengambil kawasan milik bersama.
"Ini selaras dengan sasaran sifar pengubahsuaian haram ke atas unit pangsapuri yang ditetapkan oleh MPAJ," tegas Norhayati.
UM.
Kupon bekalan air percuma ![]() Bagi tujuan itu, dianggarkan sejumlah RM24.5 juta diperuntukkan setahun di bawah Program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) membabitkan 620 pemaju pangsapuri kos rendah di negeri ini. Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, meskipun agak terlambat menunaikan salah satu manifesto Pilihanraya Umum ke-12 (PRU12) kepada penghuni pangsapuri kos rendah yang menggunakan meter air pukal, namun usaha tetap dilakukan bagi membolehkan rakyat merasai dan menikmati sumber dari negeri Selangor. “Kita anggap air adalah hak rakyat dan cara sebaiknya Kerajaan Negeri memberikan sejumlah bekalan itu secara percuma. “Pada awalnya kita sudah melaksanakannya tetapi program hanya dijalankan di perumahan pangsa yang mempunyai meter individu kerana memudahkan pengiraan dibuat,” katanya pada Majlis Perasmian Pelancaran Sistem Kupon Air Percuma bagi pemilik rumah kos rendah di pangsapuri Sri Tanjung, USJ 16, dekat sini, semalam. Pangsapuri yang mempunyai 1,000 unit kediaman itu dipilih sebagai perintis pelaksanaan program bagi menjalani tempoh percubaan selama tiga bulan dan jika berjaya sistem kupon akan diperkenalkan ke pangsapuri kos rendah lain di Selangor secara berperingkat. Bagi pangsapuri Sri Tanjung sahaja, RM72,480 diperuntukan dan dalam tempoh tiga bulan percubaan, perkara berbangkit akan dikaji dan kelemahan diperbaiki supaya sistem pelaksanaan dapat dipertingkatkan. Abdul Khalid berkata, pihaknya memikirkan bagaimana membantu pembeli menggunakan meter pukal yang tidak dapat menikmati manfaat itu sebelum ini, sebelum membuat kajian dan mendapati rakyat tidak boleh menunggu sehingga migrasi meter yang memakan tempoh masa lama dilakukan baru mereka boleh menikmati skim itu. “Sebelum ini mereka yang mendapat manfaat adalah yang mempunyai meter air individu. Tetapi kita berpendapat, untuk menunggu penukaran meter pukal kepada individu mengambil masa dan lambat dilaksanakan kerana faktor kos dan sebagainya. “Oleh itu, kita mengambil keputusan memberikan 20 meter padu air percuma berasaskan sistem kupon. Ia akan diberikan melalui beberapa proses dan dicetak oleh Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS),” katanya yang memaklumkan kupon diberikan hanya kepada mereka yang layak. Abdul Khalid berkata, bagaimanapun proses mendapatkan kupon itu akan cuba diurus dengan baik dan tidak mewujudkan banyak birokrasi. “Kalau usaha ini berjaya, mungkin pembayaran air dan kupon pemberian air percuma akan dilakukan dalam tempoh tiga bulan sekali. “Malah kita akan memaklumkan kepada rakyat berapa jumlah kita bayar kepada Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan berapa banyak agensi itu agihkan air kepada tapak pangsapuri,” katanya yang berharap kaedah itu dapat membantu golongan berpendapatan rendah dan sederhana yang tinggal di pangsapuri. Bagaimanapun, Abdul Khalid berharap, badan pengurusan bersama (JMB), pemaju atau perbadanan pengurusan (MC) tetap melaksanakan migrasi meter pukal kepada individu untuk menikmati manfaat lain kelak. Hadir sama, Ketua Pengarah Eksekutif LPHS, Datin Paduka Alinah Ahmad yang memberikan penerangan berhubung mekanisme digunakan bagi pemberian air percuma menerusi sistem kupon. |
Rabu, 26 Mei 2010
Kerjasama dengan JMB jamin bangunan terurus
KAJANG 20 April 2008- Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) meminta pembeli dan pemaju memberikan kerjasama kepada Perbadanan Pengurusan Bersama (JMB) yang dilantik bagi memastikan bangunan yang diduduki terurus.
Yang DiPertuanya, Datuk Hasan Nawawi Abd. Rahman berkata, ini sejajar dengan arahan supaya setiap bangunan kediaman dan komersial melantik JMB masing-masing bagi membolehkan mereka menyenggara dan menguruskan bangunan dan harta bersama.
Menurutnya, JMB yang dilantik dengan persetujuan pembeli dan pemaju akan mempunyai bidang kuasa tertentu dalam menguruskan bangunan tersebut seperti yang termaktub di bawah Akta Bangunan dan Harta Bersama (Penyenggaraan dan Pengurusan Bangunan) 2007 atau Akta 663.
Ujarnya, selepas pelantikan itu, segala masalah yang melibatkan pengurusan akan dipertanggungjawabkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bersama (JMC) untuk mengendalikannya.
"Pelantikan JMC ini hanya melibatkan pemilik kediaman dan bukannya penyewa serta kediaman yang mempunyai hak strata sahaja.
"Sekiranya selepas ini penghuni tidak mahu bekerjasama untuk menjelaskan kos penyenggaraan, mereka boleh dikenakan tindakan.
"Jika penghuni gagal menjelaskan tunggakan selama enam bulan bagi kos penyelenggaraan, kediaman mereka akan dilelong,'' katanya kepada pemberita selepas menyerahkan sijil pelantikan JMB kepada 10 wakil penduduk.
Hadir sama, Timbalan Yang Dipertua MPKj, Abdullah Marjunid dan Ketua Unit Pesuruhjaya Bangunan (COB), Bibi Khairani Mohamed Sabri.

Penduduk, Rahamam Yudin berkata, masalah berpunca apabila saluran kumbahan tersumbat menyebabkan air najis melimpah keluar dan membasahi ruangan siar kaki di tingkat bawah.
:Menurutnya, aduan sudah dibuat kepada pihak pengurusan namun keadaan masih tidak berubah.
:"Saluran paip kumbahan perlu dibersihkan dengan teliti kerana jika tidak, masalah yang sama akan berulang setiap masa," katanya.
Selain menimbulkan bau busuk katanya, penduduk juga tidak selesa dengan berikutan air najis itu bertakung di laluan utama penduduk.

Walaupun sesi dialog bersama pihak berkenaan telah dilakukan pada 22 Mei lalu tetapi masalah masih tidak dapat diatasi. Satu perjumpaan bersama wakil Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) dan Ahli Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) telah diadakan Isnin lalu.
Bagaimanapun, keadaan menjadi tegang apabila penjelasan sewajarnya daripada pihak berwajib ketika ahli majlis meminta supaya mereka menjelaskan masalah berlaku kepada penduduk.
Pengerusi Persatuan Penduduk Pangsapuri Flora, Rostam Mohamad berkata, dipercayai tekanan air rendah menyebabkan bekalan air di rumah penduduk Blok A dan B terganggu beberapa hari dalam tempoh dua minggu.
Menurutnya, dipercayai motor di rumah pam tidak berfungsi menyebabkan tekanan air terlalu rendah sehingga rumah penduduk tidak mendapat saluran bekalan sempurna dalam masa beberapa hari sekali gus.
“Apabila motor di rumah pam tidak berfungsi maka penduduk tidak akan mendapat bekalan air dan ia hanya berfungsi dua hari lalu selepas meter pam dipasang. Kejadian itu adalah yang ketiga berlaku sepanjang 12 tahun pangsapuri ini diduduki.
“Berikutan gangguan bekalan air itu, penduduk terpaksa mengambil inisiatif sendiri dengan menumpang di rumah jiran, keluarga terdekat dan menggunakan air di surau bagi melakukan rutin mereka,” katanya kepada Sinar Harian dalam perjumpaan di Pangsapuri Isnin petang.
Isnin, 24 Mei 2010
Ruang sosial warga Singapura
BERDIRI dalam dua barisan dengan kaki dibengkokkan, 10 orang lelaki secara perlahan menolak tapak tangan keluar secara serentak dalam sesi latihan seni bela diri Cina, tai chi di tingkat bawah sebuah blok bangunan awam.
Di beberapa tempat serupa di Singapura, perkahwinan orang Melayu berlangsung secara sederhana di lokasi itu. Malah, ia juga tempat permainan untuk kanak-kanak pelbagai kaum termasuk daripada keluarga ekspaktriat yang menyewa flat awam di sana.
Ia adalah pemandangan hujung minggu biasa dalam kawasan terbuka di bawah bangunan-bangunan apartmen tinggi di Singapura kerana mempunyai jumlah penduduk yang padat.
Dengan lebih 80 peratus penduduknya tinggal di dalam flat awam, termasuk orang asing yang kini merangkumi sepertiga populasi Singapura berjumlah lima juta orang, ruang lapang di bawah bangunan menjadi sebahagian kehidupan harian di sana.
Seperti kanvas kosong yang diwarnai pelangi etnik di Singapura, ruang berkenaan memainkan peranan penting bermula dengan perkahwinan dan majlis kematian sehinggalah kepada tempat golongan pesara daripada pelbagai kumpulan etnik berkumpul.
"Ia menjadi tempat bermalas-malasan," kata Profesor di Jabatan Sosiologi Universiti Kebangsaan Singapura, Chua Beng Huat.
Lebih daripada itu, berkongsi ruang juga adalah sebahagian daripada polisi sosial yang dikuatkuasakan di Singapura yang bertujuan memastikan keharmonian kaum di rantau yang sering dikaitkan dengan perselisihan agama dan etnik.
Flat di setiap perumahan awam dibahagikan berdasarkan campuran etnik di Singapura iaitu 77 peratus Cina, 14 peratus Melayu dan lapan peratus India dengan bancian 2,000 orang bagi mengelakkan perbalahan kaum berlaku.
Keharmonian kaum amat penting kepada Singapura yang pernah mengalami rusuhan kaum pada tahun 1960-an.
Dalam dua kes terbaru yang disiarkan media tempatan, seorang paderi Kristian dipaksa meminta maaf di hadapan awam selepas menghina Taoisme dan agama Buddha, manakala tiga remaja Cina disiasat berkenaan kata-kata kasar berunsur anti-India di laman web.
Perdana Menteri, Lee Hsien Loong telah menggunakan ruang lapang itu untuk menggaris keperluan toleransi etnik, dengan mengambil sebuah kejadian yang boleh menyebabkan ketegangan kaum semakin marak.
Hsien Loong mengaitkan ucapan pada hari kebangsaan Ogos lalu dengan sebuah keluarga Cina mengadakan majlis kematian manakala keluarga Melayu sedang melangsungkan perkahwinan di ruang yang sama. Tetapi situasi di situ perlu dikawal dengan campur tangan daripada tokoh masyarakat.
"Jika kejadian sebegitu ditangani dengan salah, ia akan mengakibatkan perbalahan kaum atau konflik agama, kes itu akan menjadi lebih buruk," katanya.
Bagi kebanyakan penduduk Singapura, ruang lapang adalah kawasan neutral untuk melepak dan bercampur dengan kaum lain.
Seorang pesara, Wong Phui San, 59, menaiki bas ke daerah-daerah lain untuk bermain dam kerana pemain di sana memiliki kemahiran yang setanding dengannya.
"Dengan cara ini saya tidak perlu mengeluarkan wang yang banyak untuk berhibur. Saya hanya perlu menaiki bas dan menghabiskan masa saya di sini," katanya.
Perkahwinan etnik Melayu selalunya berlangsung di ruang berkenaan pada hujung minggu.
Perancang perkahwinan dipanggil untuk menukar suasana ruang berkenaan menjadi dewan perkahwinan dengan lantai simen dilapik dengan karpet, dinding dihiasi dengan langsir dan bunga serta pelamin.
"Satu sebab mengapa ruang lapang itu begitu popular untuk majlis perkahwinan orang Melayu ialah kerana ia menjimatkan kos," kata perancang perkahwinan, Nurdyana Lim.
Majlis perkahwinan orang Melayu yang besar berkembang daripada tradisi kampung yang melibatkan seluruh keluarga, saudara-mara jauh dan jiran tetangga yang hadir membantu melancarkan perjalanan majlis, katanya.
"Mereka boleh menjemput lebih 1,000 tetamu dan tidak bimbang berbelanja lebih. Sedangkan dewan hotel memakan belanja ribuan ringgit," tambahnya.
Pengamal kecergasan juga menggunakan ruang lapang itu berbanding membayar yuran gimnasium.
"Kami suka mengadakannya di ruang terbuka kerana jika kami mempunyai lebih banyak ahli, kami masih ada ruang yang cukup untuk menampung mereka," kata seorang jurutera, Bill Chan, 34 yang sering mengikuti sesi tai chi di sebuah blok.
Kebanyakan ruang lapang dilengkapi meja batu, bangku atau rak basikal dan terletak berdekatan lif dan taman permainan.
Kebanyakannya digunakan sebagai pusat penjagaan kanak-kanak, kedai runcit dan sudut warga emas yang dilengkapi set televisyen, tandas dan meja batu yang dicetak dengan papan dam.
Semasa majlis kematian diadakan oleh komuniti Cina, bahagian berkhemah didirikan melindungi altar dan keranda yang terbuka daripada dilihat manakala kalungan bunga di susun berdekatan pintu masuk.
Kerusi dan meja disediakan kepada pelawat yang hadir menziarah sehingga tiga ke lima hari.
Pada hari terakhir, mereka akan mengusung jenazah ke tapak perkuburan dengan jiran-jiran daripada pelbagai etnik turut mengambil bahagian. - AFP
Isnin, 17 Mei 2010
Pondok sampah tak berfungsi
![]() |
Akibat pondok sampah yang berkunci menyebabkan orang ramai terpaksa membuang sampah di luar pagar sekitar kawasan Flat Taman Sri Stulang, Johor Bahru. |
SEBAGAI Ketua Blok Taman Sri Stulang di Johor Bahru, saya amat kecewa dengan masalah pondok rumah sampah di blok J yang masih tidak digunakan. Malahan ia dikunci oleh pihak tertentu.
Justeru penduduk tiada tempat untuk membuang sampah secara teratur, mengakibatkan kawasan menjadi kotor. Ini disebabkan terdapat segelintir mereka yang tidak mempunyai pilihan terpaksa membuang sampah di tepi dan luar pagar pondok sampah.
Selain itu ia juga menyebabkan masalah kebersihan dan berbau busuk sekali gus mengundang kehadiran lalat, tikus dan pembiakan nyamuk yang serius sehingga menjejaskan kehidupan penduduk.
Masalah lain yang timbul berikutan masalah sampah itu antaranya berkaitan dengan kesihatan setempat seperti risiko demam denggi, keracunan makanan dan pencemaran alam sekitar oleh bau busuk sampah.
Sampah tersebut semakin banyak dari sehari ke sehari hingga bertimbun kerana tiada pihak tertentu yang mengangkut atau membersihkan secara sistematik.
Sehubungan itu, saya mewakili penduduk Blok Taman Sri Stulang mencadangkan agar pondok sampah untuk kemudahan penduduk berkenaan dapat dibuka segera supaya ia dapat berfungsi dengan betul.
Saya meminta pihak berkuasa atasan menyelesaikan segala perkara berbangkit berhubung masalah itu termasuk menyerahkan hak milik pondok sampah tersebut kepada pihak pengurusan untuk digunakan.
Ini semua adalah kerenah birokrasi yang tidak sepatutnya berlaku kerana kami telah tinggal sejak dua tahun lalu tanpa pengurusan sampah yang sempurna.
Para penduduk hairan kerana perkara asas mengenai isu kebersihan itu gagal ditangani oleh pihak berwajib walaupun aduan sudah berulang kali dikemukakan.
Terdapat juga satu pondok sampah yang dibuka tetapi kedudukannya terlalu jauh hingga menyusahkan penduduk khususnya warga emas untuk membuang sampah setiap hari.
Walaupun para penduduk berasa geram, tetapi masih boleh bersabar dengan mengambil inisiatif bergotong-royong beberapa kali untuk membersihkan longgokan sampah.
Persoalannya, sampai bila masalah ini hendak selesai sedangkan kemudahan pondok sampah tidak berfungsi mengikut matlamat pembinaannya!
- SUBHI SAAD Ketua Blok Flat Sri StulangJumaat, 14 Mei 2010
Selasa, 11 Mei 2010
200 dapat hak milik strata selepas 25 tahun menanti
![]() |
Pang Tsu Ming (empat dari kanan) menyerahkan surat hak milik strata kepada Wong Chong Heng yang turut dihadiri oleh pemilik Flat Taman Rasa Sayang, Kuantan, Pahang, semalam. |
KUANTAN 10 Mei - Kira-kira 200 penghuni Flat Taman Rasa Sayang di sini menarik nafas lega apabila penantian mereka selama 25 tahun untuk mendapat hak milik strata tercapai hari ini.
Menurut penghuni, permohonan untuk mendapatkan status tersebut telah dikemukakan kepada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Kuantan sejak 1985.
Pengerusi penduduk, Wong Chong Heng, 59, berkata, sebelum ini pihaknya berkali-kali membuat permohonan mendapatkan status tersebut yang dilakukan melalui pemaju tetapi tiada maklum balas oleh PTG.
''Akibat kerenah birokrasi itu, kami tidak dapat menyelesaikan beberapa perkara seperti proses jual rumah dan memindahkan hak milik kepada pihak ketiga," katanya kepada Utusan Malaysiaketika ditemui di sini hari ini.
Menurut Chong Heng, selepas usaha tersebut tidak berhasil, pihaknya menubuhkan Perbadanan Pengurusan Flat bagi menguruskan masalah permohonan berkenaan.
Seorang penduduk, Rakiah Yusof, 58, berkata, dia membeli rumah flat tersebut pada tahun 1985 dengan harga RM20,000 dan kini telah diserahkan kepada salah seorang anaknya.
"Saya telah berpindah ke tempat lain dan menyerahkan rumah ini kepada salah seorang anak saya, namun masalah timbul apabila proses pertukaran hak milik tidak dapat dibuat.
"Bagaimanapun saya bersyukur apabila akhirnya ia dapat diselesaikan dan ini merupakan hadiah untuk sekeluarga atas berkat kesabaran selama ini," katanya.
Bagi Ang Gim Huat, 52, pula, dia membeli rumah flat itu 24 tahun yang lalu dan setiap tahun menjelaskan cukai hasil sebanyak RM24.75.
''Di sini banyak masalah yang timbul terutama dari segi kebersihan kawasan dan tiada kawalan keselamatan yang ketat kepada penghuni," katanya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Datuk Pang Tsu Ming berkata, dia menerima aduan daripada penghuni flat itu pada bulan lalu mengenai masalah kelewatan kelulusan permohonan.
Katanya, permohonan mendapatkan hak milik strata itu seharusnya diluluskan sejak dahulu lagi apabila pemaju membuat permohonan dan bayaran lengkap pada 1999.
Bagaimanapun, katanya, oleh kerana kelewatan memproses permohonan daripada Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Daerah, penduduk di sini terpaksa menunggu sehingga 25 tahun.
''Hal ini tidak sepatutnya berlaku kerana ia membuatkan rakyat kurang yakin dengan kerajaan malah menyalahkan kerajaan kononnya tidak prihatin dan sebagainya," katanya.
Tsu Ming berkata, masalah tersebut adalah yang pertama dapat diselesaikan manakala masih ramai lagi permohonan dari seluruh negeri masih dalam proses kelulusan.
''Saya difahamkan terdapat ramai lagi penduduk flat yang mempunyai masalah sama malah ada daripadanya berpunca daripada pemaju yang tidak bertanggungjawab seperti tidak membuat permohonan dan berhijrah ke tempat lain sehingga menyebabkan pembeli sukar untuk mendapatkan maklumat," katanya.
Rabu, 5 Mei 2010
Penubuhan JMB : Kerajaan Negeri Sediakan Garis Panduan
Tuesday, 03 February 2009 | Ruangan: BeritaSHAH ALAM, 3 Februari – Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan, Iskandar Abd Samad berkata kerajaan negeri telah menyediakan satu garis panduan dan rujukan khas yang lebih jelas berkaitan penubuhan Badan Pengurusan Bersama (JMB) di negeri ini.
Menurutnya, garis panduan baru yang berkuatkuasa serta-merta itu perlu bagi memastikan hak pembeli dilindungi berikutan kaedah kepada Akta Bangunan dan Harta Bersama (Penyelengaraan dan Pengurusan) 2007 iaitu di bawah Akta 663 masih belum ada sehingga kini.
“Kerajaan negeri sebelum ini mendapat banyak aduan daripada pembeli-pembeli mengenai perlaksanaan mesyuarat pertama JMB yang dibuat pemaju yang tidak memberi hak secara telus kepada pembeli termasuklah menidakkan kepentingan mereka dalam urusan peyelenggaraan bangunan kediaman,” katanya dalam sidang akhbar mengenai Prosiding Mesyuarat Pertama JMB Bagi Semua Kawasan Pemaju Strata Negeri Selangor di Bilik Mesyuarat Kekwa, Seksyen Sektoral, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, di sini petang tadi.
Katanya, bagi memastikan pembeli tidak terus ditindas oleh pemaju, kerajaan negeri telah mewujudkan garis panduan yang lebih jelas mengenai prosiding mesyuarat pertama JMB melibatkan penyertaan pemilik rumah dan pemaju secara adil.
“Ia bagi melicinkan sebarang urusan berkaitan bangunan kediaman antara pemilik rumah dengan pemaju,” katanya.
Menurut Iskandar,sebanyak lima garis panduan yang perlu diikuti JMB untuk mengadakan mesyuarat.
“Lima kaedah yang ditetapkan ialah dari segi kaedah penyerahan notis kepada pemilik rumah; lantikan pengerusi; penetapan tarikh, masa dan tempat; tarikh akhir pembayaran caj dan wakil layak hadir,” katanya.
Menurutnya, bagi kaedah penetapan tarikh, masa dan tempat mesyuarat hendaklah diadakan pada hari tidak bekerja yang tidak jatuh pada atau selepas perayaan.
Jelas Iskandar lagi, kerajaan negeri juga akan menyediakan garis panduan lain di bawah akta sama dan dijadualkan siap dalam tempoh tiga bulan lagi.
Dalam perkembangan yang sama, Iskandar berkata mana-mana pemaju yang masih gagal menubuhkan JMB di negeri ini akan didakwa.
Katanya, kegagalan itu boleh mengakibatkan pemaju dikenakan denda sehingga RM10,000. – MURIZA ABDUL HAMID
Isnin, 3 Mei 2010
Balu ahli RT terima pampasan
BANDAR BAHARU 2 Mei - Kehilangan suami tersayang kira-kira tiga bulan lalu begitu dirasai J. Nesamani, 40, dari Taman Kelisa Emas, Lubuk Buntar di sini kerana kehilangan tempat bergantung hidup.
Kesengsaraan itu bagaimanapun sedikit terubat apabila beliau menerima sumbangan bernilai RM20,000 daripada Takaful Ikhlas Sdn. Bhd. hasil caruman insurans suaminya, P. Muniandy dalam Skim Ronda Sukarela (SRS) Rukun Tetangga (RT) yang diperkenalkan sejak 1 Januari 2007.
Nesamani berkata, beliau tidak menduga menerima faedah daripada skim insurans itu selepas suaminya meninggal dunia dalam kemalangan jalan raya pada 11 Februari lalu.
"Rupa-rupanya, semua ahli SRS ini ada caruman masing-masing sebanyak RM10 setahun dan saya memang tidak tahu suami saya juga berbuat demikian," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima cek sumbangan tersebut pada program karnival sukan anjuran RT Taman Kelisa Emas, Lubuk Buntar, Serdang di sini hari ini.
Cek berkenaan disampaikan oleh Pengurus Projek Insuran RT, Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional, Shahrul Azmi Ab. Rahman.
Turut hadir Penolong Pegawai Perpaduan Daerah Kulim-Bandar Baharu, Shahrizad Mohd. Dahlan dan Ketua Balai Polis Serdang, Sub Inspektor Kamarudin Ahmad.
Nesamani berkata, wang berkenaan akan digunakan untuk membiayai keperluan keluarga termasuk anak-anaknya, Mattew Noell, 11, yang masih menuntut di Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Tamil Lunas, Kulim; Geethanya, 2, dan Bhavanis, berusia 10 bulan.
''Apabila terima wang sebanyak ini, hati berasa gembira dan tenang kembali," katanya lagi.
Terdahulu dalam ucapannya, Shahrul Azmi memberitahu, sepanjang tahun lalu, sebanyak RM1.9 juta diserahkan kepada ahli-ahli RT yang menyertai skim itu akibat kemalangan.
Jelasnya, ia melibatkan 86 kes kemalangan maut dan 300 kes kecederaan.
Beliau menambah, sehingga kini, seramai 150,000 ahli di 4,610 kawasan RT termasuk di Sabah dan Sarawak menyertai skim tersebut.
Beliau menjangkakan bilangan ahli SRS di seluruh negara meningkat seramai 200,000 orang pada penghujung tahun ini.