Masyarakat perlu peka terhadap jiran: Shahrizat
KUALA LUMPUR: Sikap masyarakat yang tidak ambil tahu dan tidak mahu campur urusan jiran tetangga menyebabkan berlakunya kejadian jenayah di sekitar kawasan kejiranan seperti kes penderaan sehingga menyebabkan kematian kanak-kanak perempuan berusia tiga tahun, Syafia Humairah Sahari, kelmarin. Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, berkata masyarakat perlu peka dan mengambil tahu keadaan di sekeliling kejiranan bagi membendung kes seperti itu. Beliau berkata, kes sebegitu seperti amaran awal tsunami dalam pembangunan sosial di negara ini dan masyarakat tidak boleh mengambilnya sambil lewa.
Shahrizat berkata, masyarakat memainkan peranan penting dalam mengekang jenayah keganasan dengan membuat laporan kepada pihak tertentu.
"Kalau kita tahu dalam anggota masyarakat ada yang bersifat ganas seperti ini, kita perlu ambil tahu dan jika perlu, laporlah kepada polis.
"Banyak tempat telah kerajaan wujudkan untuk masyarakat membuat laporan atau aduan kes sedemikan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Ahli Dewan Undangan Negeri di kawasan masing-masing atau hubungi talian Nur di 15999," katanya.
Shahrizat berkata, ibu kanak-kanak malang itu Nurhanim Aziz, 25, dan dua anak lelakinya Shafiq Haikal, tujuh, dan Shakimi Iqbal yang berusia setahun enam bulan akan ditempatkan di rumah kebajikan masyarakat.
Sementara itu, Nurhanim berkata sikap masyarakat yang sering menuding jari menyalahkan dirinya tanpa mengambil tahu masalah sebenar yang dihadapinya menyebabkan dia berasa sedih dan tertekan.
"Jangan salahkan saya kerana perbuatan suami dan jangan hukum saya kerana perbuatan teman lelaki (suspek) kerana saya tidak menyangka dia akan bertindak sedemikian rupa...di depan saya dia baik dan menganggap Syafia Humairah seperti anak kandungnya sendiri," katanya sebak.
Beliau berkata, masyarakat sekeliling sering memandang serong terhadapnya dengan tanggapan negatif di atas kesalahan yang dilakukan oleh suaminya Sahari Usol, 33, yang kini ditahan reman di Penjara Sungai Buloh sejak 2006. (melakukan kesalahan jenayah yang tidak boleh diikat jamin)
Jiran suspek yang dikenali sebagai Cik Ani, 62, berkata ketika kejadian beliau sekeluarga berada di halaman rumah yang bertentangan dengan padang bola di mana tempat kejadian itu berlaku namun beliau dan keluarga tidak menyedarinya.
"Ketika itu cucu mak cik sedang bermain bola dengan kawan-kawannya di padang dan dia pulang ke rumah bagi tahu mangsa kena dera.
"Kalau kami nampak dari awal kejadian itu memang kami sudah bertindak...bukan kami hendak tutup mata," katanya ketika ditemui Bernama di rumahnya di Kampung Batu 30 Ulu Yam Lama dekat sini.
Penderaan itu dikatakan dilakukan di belakang sebuah surau yang terletak berhampiran padang permainan kanak-kanak kira-kira 30 meter daripada deretan rumah yang bertentangan dengan padang bola itu dan ia boleh dilihat dengan jelas.
Tinjauan Bernama ke rumah suspek yang terletak kira-kira 100 meter dari tempat kejadian, mendapati terdapat tulisan perkataan "pembunuh" di dinding rumah suspek yang menggunakan cat semburan dan ketika itu tiada penghuni di rumah berkenaan. - Bernama
sumber:BH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan