JOHOR BAHRU 26 Feb. - Bekalan elektrik yang terputus akibat kerosakan kabel di Flat Larkin di sini dijangka pulih seminggu lagi.
Kerosakan kabel elektrik di blok D flat itu sejak Sabtu lalu, dipercayai berpunca daripada perbuatan vandalisme.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesenian, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Ahmad Zahri Jamil berkata, kerja-kerja membaiki kabel elektrik yang rosak sedang dijalankan oleh kontraktor yang dilantik kerajaan negeri.
"Hasil siasatan awal menunjukkan kejadian itu berpunca daripada perbuatan vandalisme.
"Akibatnya, sebanyak RM190,000 terpaksa dikeluarkan bagi membaiki kerosakan tersebut," katanya ketika ditemui di sini semalam.
Utusan Malaysia kelmarin menyiarkan kesengsaraan lebih 1,000 penduduk flat 16 tingkat itu ekoran bekalan elektrik terputus sejak Sabtu lalu.
Dalam kejadian pada pukul 2.30 pagi itu kotak fius utama di tingkat satu hingga tiga blok berkenaan dibakar dipercayai dilakukan oleh penagih dadah.
Sejak itu, penghuni blok 16 tingkat itu menghadapi pelbagai masalah yang menjejaskan aktiviti harian antaranya lif tidak berfungsi, rumah panas, makanan yang disimpan di dalam peti sejuk rosak serta terpaksa menggunakan lilin pada waktu malam.
Lebih memilukan, golongan warga emas menghadapi kesukaran untuk turun ke tingkat bawah blok itu sehinggakan terpaksa mendapatkan bantuan orang lain.
Ahmad Zahri yang kesal dengan kejadian itu turut menyelar perbuatan pihak tidak bertanggungjawab tersebut yang merugikan wang rakyat dan menyusahkan penghuni di situ.
sumber:UM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan