Isnin, 1 Mac 2010

Keluarga, masyarakat atasi gejala sosial

KUALA LUMPUR - Anggota keluarga dan masyarakat perlu bersama-sama berganding bahu menangani pelbagai masalah sosial yang berlaku di sekeliling mereka ketika ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Menurutnya, mereka perlu prihatin dengan keadaan sekeliling termasuk di kawasan perumahan masing-masing terutama apabila mereka tahu berlakunya sebarang perkara tidak baik di kawasan berkenaan.

“Sebagai contoh, apabila menyebut mengenai bersekedudukan, ibu bapa juga mesti dapat memahami dan sudah tahu bila dan di mana anak mereka kahwin. Masyarakat juga perlu prihatin.

“Kerana itu dalam Islam ada kenduri kahwin sebagai cara untuk menguar-uarkan kepada orang ramai yang mereka sudah berkahwin,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kad Nikah 1 Jam 1 Wilayah dan pelancaran logo rasmi Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) di sini, semalam.

Ditanya sama ada masalah sosial yang berlaku ketika ini disebabkan sikap mementingkan diri sendiri di kalangan masyarakat, Jamil Khir berkata, mereka masih mengambil berat terhadap perkara yang berlaku di sekeliling mereka.

“Bukan masyarakat tidak peduli. Apabila mereka bercakap mengenai perkara itu bermakna mereka mengambil tahu,” kata beliau tanpa mahu merujuk kepada mana-mana kes yang berlaku ketika ini.

Terdahulu dalam ucapannya, Jamil Khir berkata, Jawi adalah jabatan agama Islam yang pertama di Malaysia yang menghasilkan Kad Nikah 1 Jam 1 Wilayah iaitu kad nikah yang boleh disiapkan dalam masa satu jam.

Beliau berkata, kad itu dilengkapi dengan enam ciri-ciri keselamatan antaranya kad itu tidak boleh dipalsukan dan dikenakan harga RM28 sepasang untuk suami dan isteri.

Menurutnya, walaupun kad perakuan nikah itu belum diwajibkan untuk setiap pengantin untuk memilikinya, Jamil Khir menasihatkan mereka supaya membuat kad berkenaan kerana ia mudah dibawa ke mana-mana.

“Ia penting sebagai tanda dan identiti bahawa pasangan itu sudah berkahwin,” kata beliau sambil menambah proses membuat kad itu dapat dipercepatkan berikutan persetujuan Percetakan Nasional Berhad untuk menempatkan mesin cetak di Jawi," katanya. - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan