KUALA LUMPUR 24 Feb. - Bagaimana penyenggaraan hendak dilakukan dengan sempurna dan mengikut jadual sekiranya hanya 20 peratus penduduk sahaja yang membayar caj bulanan.
Itulah yang dipersoalkan oleh Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) kepada penghuni Apartmen Sri Pulai, Puchong Hartamas yang mengadu apartmen itu tidak disenggara oleh pemaju.
MPSJ dalam satu kenyataan di sini hari ini memberitahu, masalah yang dihadapi penduduk di kawasan perumahan itu adalah kerana tiada pihak yang menguruskan apartmen sejak 1 September tahun lepas.
"Masalah itu menyebabkan sampah tidak dikutip selain tunggakan bil air dan elektrik sudah mencecah RM23,292.26 dan perlu dijelaskan dalam tempoh 14 hari dari tarikh 13 Januari lalu," kata kenyataan itu.
Kenyataan itu adalah jawapan kepada laporan Utusan Malaysia yang menyiarkan kesengsaraan penduduk Apartmen Sri Pulai yang sudah lebih enam bulan menderita akibat pemaju yang menguruskan pangsapuri itu 'melarikan diri'.
Penduduk juga dikatakan ditinggalkan pemaju dalam keadaan serba daif tanpa bekalan air dan tiada penyenggaraan sistem kumbahan sejak setengah tahun lalu.
Kenyataan itu menjelaskan, pemaju apartmen itu, Five Star Development (Puchong) Sdn. Bhd. telah mengeluarkan notis penyerahan pengurusan bangunan kepada badan pengurusan bersama (JMB) Apartmen Sri Pulai pada 12 Jun dan 1 Ogos tahun lalu.
Justeru, pemaju terbabit telah menghentikan tindakan menguruskan bangunan itu pada 31 Ogos tahun lepas.
Bagi membantu penduduk, pihak MPSJ telah membuat lawatan tapak pada 23 Disember dan membantu membersihkan kawasan tersebut termasuk memotong rumput.
Jelas kenyataan itu lagi, pihak MPSJ juga sudah mengadakan mesyuarat pada 29 Disember tahun lepas dan mesyuarat kedua pada 17 Januari lepas bersama penduduk
"Selain itu, MPSJ dimaklumkan yang pemaju akan membantu JMB untuk mengambil alih pengurusan serta kerja-kerja pengurusan bangunan.
"Yang Dipertua MPSJ juga sudah meminta pemaju membaiki dewan selain merobohkan pondok haram yang didirikan di luar kawasan apartmen bagi memudahkan JMB menguruskan kawasan itu kelak," ujar kenyataan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan