Jumaat, 2 Julai 2010

tabung penyenggaraan 1malaysia

Pangsapuri Suci penerima pertama
Oleh ARDYHANSAH AMATkota@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 2 Julai - Pangsapuri Suci menjadi perumahan bertingkat kos rendah pertama menerima bantuan dana berjumlah RM35 juta yang disalurkan menerusi Tabung Penyenggaraan 1Malaysia.
Tabung berkenaan diwujudkan oleh kerajaan untuk membantu pihak pengurusan pangsapuri kos rendah di ibu negara yang mengalami masalah.
Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, penubuhan tabung berkenaan bertujuan untuk membantu Badan Pengurusan Bersama (JMB) pangsapuri yang bermasalah dan tidak mampu untuk menyenggara kawasan kediaman mereka.
"Tetapi dana itu khusus untuk digunakan bagi menyelesaikan masalah penyenggaraan seperti membaiki lif, lampu dan sebagainya.
"Ia tidak boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah kewangan penduduk seperti hutang air dan elektrik," katanya kepada wartawan ketika melawat Pangsapuri Suci, Puchong di sini semalam.
Menurut beliau, kementerian akan menanggung separuh daripada kos penyenggaraan yang akan disalurkan kepada JMB yang telah dikenal pasti manakala sebahagian perbelanjaan lagi perlu ditanggung oleh pihak JMB bersama penduduk dengan mencari dana sendiri.
"Misalnya di Pangsapuri Suci ini, mereka berhadapan dengan masalah bekalan air sejak lebih empat tahun dahulu.
"Tahun lalu, saya telah turun padang dan mengenal pasti masalah utama ialah pam air rosak. Harga pam air tersebut mencecah RM36,000. Pihak kementerian menanggung separuh daripada harga itu dan selebihnya perlu ditanggung oleh JMB di sini.
"Namun mereka (JMB Pangsapuri Suci) bernasib baik kerana ada pihak swasta yang sudi menghulurkan bantuan iaitu daripada pihak pengurusan Pasar Seni dengan sumbangan sebanyak RM12,000," katanya lagi.
Kedua-dua sumbangan tersebut disampaikan sendiri oleh Raja Nong Chik kepada pihak JMB Pangsapuri Suci di pangsapuri berkenaan, semalam.
Masalah bekalan air di pangsapuri berkenaan dilaporkan Utusan Malaysia tahun lalu dan Raja Nong Chik telah melawat pangsapuri berkenaan bagi melihat sendiri masalah yang dihadapi penduduk di sana.
Ketika itu masalah yang diutarakan ialah bekalan air dan beberapa masalah lain yang disebabkan kegagalan pentadbiran pemajunya.
Malah, jumlah tunggakan bil air telah mencecah RM130,000 ketika itu.
"Namun begitu, atas budi bicara pihak Syabas semasa saya berunding dengan mereka, Syabas telah sudi untuk memberi diskaun kepada penduduk di sini.
"Kini mereka hanya perlu membayar RM37,000 sahaja iaitu pengurangan hampir RM100,000. Terima kasih kepada pihak Syabas," ujar Raja Nong Chik lagi.
Selain menyampaikan wang sumbangan berkenaan, Raja Nong Chik juga merasmikan surau baru di pangsapuri berkenaan.
Pangsapuri setinggi 18 tingkat itu mempunyai 314 unit rumah, merupakan pangsapuri pertama yang menerima bantuan daripada Tabung Penyenggaraan 1Malaysia sejak tabung itu diperkenalkan.
"Saya berharap selepas ini penduduk di pangsapuri ini memberikan kerjasama dengan membayar yuran penyenggaraan setiap bulan bagi memudahkan JMB menjalankan tugas dan membayar bil-bil yang ada tanpa ada tunggakan," ujarnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan