Penduduk kecewa sikap JMB
Oleh SITI AISYAH OTHMANkota@utusan.com.my
Adnan Mudzi (tiga dari kanan) bersama beberapa penduduk menunjukkan surat permohonan untuk membuka tadika dan Pusat Gerakan Skim Rondaan Sukarela yang ditolak oleh Badan Pengurusan Bersama di pangsapuri Pantai Permai, Pantai Dalam, baru-baru ini.
KUALA LUMPUR 10 Jun - Penduduk pangsapuri Pantai Permai di sini kecewa apabila permohonan mereka membuka kelas tadika di pangsapuri itu ditolak oleh Badan Pengurusan Bersama (JMB) perumahan tersebut.
Selain tadika, permohonan untuk membuka Pusat Gerakan Skim Rondaan Sukarela (SRS) di bawah Rukun Tetangga juga ditolak oleh badan tersebut.
Ketua UMNO Cawangan Perumahan Pantai Permai, Adnan Mudzi berkata, alasan yang diberikan ialah kawasan yang dipohon itu adalah "harta bersama" yang perlu dikekalkan peranannya.
Katanya, Pengerusi JMB Perumahan Pantai Permai, Abdul Razak Hasumi dalam surat jawapannya kepada permohonan itu baru-baru ini menyatakan, penolakan itu adalah keputusan sebulat suara JMB.
Dalam surat itu, Abdul Razak menyatakan, berdasarkan Akta Bangunan dan Harta Bersama (Penyenggaraan dan Pengurusan) 2007 (Akta 663) adalah menjadi tanggungjawab badan tersebut untuk menjaga kawasan itu dengan baik.
"Kami sebulat suara bersetuju bahawa ruang kosong tersebut merupakan harta bersama dan perlu dikekalkan sebagai tempat letak motosikal dan aktiviti penduduk yang berbentuk kemasyarakatan seperti kenduri dan lain-lain," kata Abdul Razak dalam surat itu.
Adnan yang mewakili sebahagian penduduk di Pantai Permai berasa terkilan dengan alasan yang diberikan oleh pihak JMB untuk menolak kedua-dua permohonan tersebut.
"Kami hanya memohon agar ruang terbuka di Blok C untuk dijadikan sebuah Tadika Perpaduan dan Pejabat SRS untuk kepentingan masyarakat di sini.
"Penduduk di sini biasanya akan menghantar anak-anak mereka di Tadika Kemas berhampiran Bukit Angkasa dan mereka terdedah kepada risiko kemalangan kerana perlu menyeberangi jalan untuk ke tadika tersebut.
"Walaupun setakat ini tiada berlaku kemalangan yang meragut nyawa tetapi kita tidak boleh menunggu kejadian berlaku, baru kita ingin mengambil tindakan," tegasnya.
Adnan berkata, mengikut perancangan, tadika yang mahu dibuka itu itu boleh menampung seramai 35 orang kanak-kanak.
"Dengan kedudukan di bawah blok, ia akan membantu memudahkan ibu bapa untuk menghantar anak-anak dan melihat sendiri proses pembelajaran mereka di tadika tersebut," katanya.
Katanya, pembinaan pejabat SRS Rukun Tetangga pula bertujuan untuk meningkatkan tahap keselamatan penduduk di perumahan tersebut.
Katanya, dengan kadar jenayah yang semakin meningkat sejak kebelakangan ini, adalah menjadi tanggungjawab anggota masyarakat untuk membantu pihak berkuasa mengurangkan kejadian itu.
Sementara itu, seorang penduduk, Amin Said, 48, berkata, walaupun dicadangkan oleh sebuah pertubuhan politik tetapi kedua-dua kemudahan tersebut tidak melibatkan kepentingan politik, sebaliknya untuk kemudahan masyarakat.
"Jangan anggap apabila UMNO membuat cadangan, ia akan berkait dengan politik setempat," katanya.
Pengerusi Kaum Ibu Pantai Permai, Putri Aishah Megat Wahid berkata, pembinaan Tadika Perpaduan itu akan dapat memberi kemudahan kepada kaum ibu melakukan aktiviti berbentuk keagamaan.
"Kaum wanita juga dapat melakukan aktiviti seperti marhaban, berzanji, mengaji al-Quran dan lain-lain dengan selesa jika mempunyai satu kawasan yang lapang tetapi tertutup.
"Sebelum ini, kaum wanita hanya melakukan aktiviti-aktiviti tersebut di kawasan koridor atau di rumah ahli-ahli tetapi kadang-kadang ia mendatangkan masalah kepada penduduk lain disebabkan kawasan yang terhad," katanya.
Jumaat, 11 Jun 2010
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan