DESA TUN RAZAK - Penduduk di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Tun Razak menyambut baik ketegasan yang diambil pihak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan tiga keluarga bermasalah di kawasan itu. Pengerusinya, Anuar Sudin berkata, apa yang dilakukan pihak Jabatan Pengurusan Perumahan DBKL itu adalah wajar kerana kehadiran mereka di sini mengundang banyak masalah. “Mereka telah melanggar syarat dan peraturan penyewaan yang mana ada antara ahli keluarga mereka yang terlibat suka merosakkan dan mencuri harta benda awam. “Selain itu mereka juga didakwa mencuri kabel elektrik dan besi penutup longkang sehingga mengakibatkan penduduk menghadapi suasana gelap di kawasan koridor serta tangga,” katanya. Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan yang diambil pihak DBKL berhubung isu kacau ganggu sebagaimana laporan Sinar Harian 21 November lalu. Anuar berkata, lebih menggusarkan lagi, bukan sahaja kes ragut berlaku di sini, malah rumah kosong di kawasan ini juga dijadikan sarang penagihan dadah dan pelacuran mereka yang tidak bertanggungjawab. Menurutnya, akibat perbuatan tidak bertanggungjawab itu, pihak DBKL terpaksa menanggung kerugian jutaan ringgit setiap tahun bagi membaiki kerosakan yang berlaku. Terdahulu, Pengarah Jabatan Pengurusan Perumahan, Sukiman Surahman dalam kenyataan beliau berkata, pihaknya telah mengeluarkan notis berpindah kepada tiga keluarga yang didakwa menyebabkan kacau ganggu. Katanya, dua daripada mereka telah pun keluar manakala satu keluarga lagi masih belum berbuat demikian. Sukiman berkata, tindakan itu adalah disebabkan kesalahan mereka yang berulang kali sehingga menyebabkan berlakunya keadaan kacau ganggu kepada penduduk setempat. “Kes tersebut juga telah menjadi kes polis dan sebanyak 27 keluarga di sini dalam pemerhatian kami di atas perbuatan mereka yang mendatangkan masalah kepada penduduk lain,” katanya. Sementara itu, Anuar berkata, pihaknya merasa lega apabila mereka yang sering mendatangkan masalah di kawasan ini telah diarahkan berpindah. “Melalui cara ini juga sedikit sebanyak memberi pengajaran dan peringatan kepada penduduk di sini agar tidak melakukan perkara yang boleh mengundang masalah kepada orang lain. “Walaupun masih terdapat masalah di kawasan ini tetapi ia telah berkurangan daripada sebelum ini,” katanya. Menurutnya, jawatankuasa persatuan penduduk, Ikatan Relawan Rakyat (Rela) dan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) akan mengadakan rondaan setiap malam bagi membanteras masalah yang berlaku dan membantu pihak berkuasa menanganinya

Tiada ulasan:
Catat Ulasan