Rabu, 21 Julai 2010

Bumbung roboh

Oleh Md Fuzi Abd Lateh

2010/07/21

BUKIT BERUNTUNG: Penduduk di Pangsapuri Seri Semarak di sini, gempar apabila bumbung rumah pangsa yang baru dipasang roboh berikutan hujan lebat, petang semalam.

Kejadian kira-kira jam 4 petang itu menyebabkan hampir keseluruhan struktur atap zink yang baru selesai dipasang menerusi peruntukan Kerajaan Persekutuan yang diumumkan Perdana Menteri, baru-baru ini jatuh di atas tanah.


Penduduk, Mohd Hafizi Sudin, 33, berkata 20 keluarga yang menghuni Blok K di situ berada dalam ketakutan apabila rumah pangsa yang diganti atap baru beberapa bulan lalu masih tidak selamat digunakan.


Katanya, hujan lebat diikuti angin kuat melanda kawasan ini menyebabkan berlakunya kejadian tidak diingini itu.


“Ketika kejadian, ramai penduduk berada dalam rumah dan hanya mengetahui keadaan sebenar setelah hujan berhenti.


“Penduduk cemas melihat struktur atap yang baru dipasang terbang melayang jatuh di halaman rumah kami di sini,” katanya kepada Harian Metro di sini, semalam.


Menurutnya, blok yang mereka duduki adalah satu daripada 55 pangsapuri sekitar Bukit Beruntung dan Bukit Sentosa yang dibaiki sejak beberapa bulan lalu.


Katanya, penduduk masih bimbang dengan keadaan sebenar atap yang baru dipasang di sini kerana belum pun dapat digunakan sepenuhnya sudah menimbulkan masalah.


Seorang lagi penduduk, Noraini Abdullah, 40, berkata mangsa kejadian terpaksa tinggal dalam rumah mereka kerana tidak mempunyai tempat lain untuk berpindah.


Katanya, penduduk merayu pihak berkaitan memantau kerja pembaikan yang baru disiapkan akhir minggu lalu.

Rumah imam dibakar

Oleh Shamsul Munir Safini

2010/07/21

KUALA LUMPUR: Rumah imam dan dua ahli jawatankuasa (AJK) Surau At-Taufiqiah di Flat 16 tingkat di Sungai Besi di sini, dibakar awal pagi semalam, dipercayai perbuatan khianat individu yang kurang senang dengan tindakan mereka aktif melakukan usaha membanteras maksiat di kawasan itu.

BAIKI...penduduk membaiki paip yang dibakar, semalam.
BAIKI...penduduk membaiki paip yang dibakar, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 4.30 pagi itu, individu terbabit dipercayai membakar kawasan luar rumah imam berkenaan di tingkat bawah sebelum membakar rumah dua lagi AJK surau berkenaan di tingkat satu dan sembilan.

Kejadian itu menyebabkan seluruh flat berkenaan terputus bekalan air berikutan paip PVC utama di tingkat sembilan yang menyambung bekalan ke rumah penghuni turut dibakar sehingga menyebabkan limpahan air .

Imam berkenaan, Besar Omar, 60, berkata dia menyedari kebakaran itu kira-kira jam 5.30 pagi selepas keluar rumah untuk ke surau bagi mengimamkan solat Subuh.

“Sebaik keluar rumah, saya lihat jiran sibuk memadamkan ampaian kain di depan rumah saya yang terbakar. Ketika itu baru saya tahu ampaian rumah saya dibakar dan selepas memeriksa, saya dapati baju keluarga saya disidai di ampaian mempunyai kesan terbakar.

“Saya tak risau dengan kebakaran itu, tapi apa yang saya kesalkan sikap individu terutama remaja di kawasan flat ini yang makin tidak berakhlak sehingga sanggup membakar rumah penghuni di sini,” katanya ketika ditemui, semalam.

Besar yang juga pesara tentera berkata, dalam beberapa ceramah agamanya di surau sebelum ini, dia menegur remaja di flat itu kerana sikap mereka kurang berakhlak.

“Sebelum ini pun ada kes vandalisme apabila pihak tidak bertanggungjawab membuang sesuatu ke atas bumbung surau,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Abu Huzaifah Mohd Radzi, 26, yang tinggal di tingkat satu flat berkenaan berkenaan berkata, dia menyedari kebakaran di rumahnya selepas terhidu bau asap yang memenuhi ruang rumahnya sebelum melihat ampaian di hadapan dijilat api.

“Saya terjaga dari tidur apabila terhidu bau asap sebelum mendapati kepulannya menyelubungi seluruh rumah. Selepas memeriksa kawasan rumah, saya dapati ampaian di depan rumah dijilat api. Saya dan anggota keluarga bertungkus-lumus memadamkan api dan syukur usaha kami berhasil,” katanya.

Abu Huzaifah berkata, dia percaya individu terbabit membakar baju yang digantung pada ampaian berdekatan pintu depan rumah dengan harapan api akan menyambar pintu serta tingkap rumah.

“Saya juga percaya perbuatan khianat ini dilakukan mereka yang marah atau berdendam dengan AJK surau berikutan usaha kami melakukan operasi mencegah maksiat dari semasa ke semasa,” katanya.

Dia yang juga seorang peniaga mendakwa ada saksi melihat kelibat seorang lelaki berbaju cerah menunggu di atas motosikal dalam keadaan mencurigakan ketika kebakaran sebelum melarikan diri apabila kehadirannya disedari penghuni flat itu.

Menurut Abu Huzaifah, selepas selesai memadam api di ampaian rumahnya, dia terdengar bunyi limpahan air dari paip di tingkat atas dan dimaklumkan limpahan itu datang dari tingkat sembilan.

“Saya berlari ke tingkat sembilan dan mendapati ampaian rumah rakan saya yang juga AJK surau turut dibakar dan air memenuhi depan rumahnya selepas paip plastik utama berhampiran ampaian disambar api,” katanya.

Katanya, dia bersama penghuni lain memadam kebakaran itu dan mereka terpaksa menutup bekalan air bagi mengelak air melimpah.

Abu Huzaifah melaporkan kejadian berkenaan di Balai Polis Sungai Besi.

Timbalan Ketua Polis Cheras, Superintendan Abdul Rahim Hamzah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian terbabit.

“Polis menyiasat kebakaran itu berdasarkan maklumat mangsa dan orang ramai di tempat kejadian. Setakat ini, motif kebakaran masih dalam siasatan.

“Saksi diminta tampil membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana melakukan bencana dengan menggunakan api.

Jumaat, 2 Julai 2010

tabung penyenggaraan 1malaysia

Pangsapuri Suci penerima pertama
Oleh ARDYHANSAH AMATkota@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 2 Julai - Pangsapuri Suci menjadi perumahan bertingkat kos rendah pertama menerima bantuan dana berjumlah RM35 juta yang disalurkan menerusi Tabung Penyenggaraan 1Malaysia.
Tabung berkenaan diwujudkan oleh kerajaan untuk membantu pihak pengurusan pangsapuri kos rendah di ibu negara yang mengalami masalah.
Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata, penubuhan tabung berkenaan bertujuan untuk membantu Badan Pengurusan Bersama (JMB) pangsapuri yang bermasalah dan tidak mampu untuk menyenggara kawasan kediaman mereka.
"Tetapi dana itu khusus untuk digunakan bagi menyelesaikan masalah penyenggaraan seperti membaiki lif, lampu dan sebagainya.
"Ia tidak boleh digunakan untuk menyelesaikan masalah kewangan penduduk seperti hutang air dan elektrik," katanya kepada wartawan ketika melawat Pangsapuri Suci, Puchong di sini semalam.
Menurut beliau, kementerian akan menanggung separuh daripada kos penyenggaraan yang akan disalurkan kepada JMB yang telah dikenal pasti manakala sebahagian perbelanjaan lagi perlu ditanggung oleh pihak JMB bersama penduduk dengan mencari dana sendiri.
"Misalnya di Pangsapuri Suci ini, mereka berhadapan dengan masalah bekalan air sejak lebih empat tahun dahulu.
"Tahun lalu, saya telah turun padang dan mengenal pasti masalah utama ialah pam air rosak. Harga pam air tersebut mencecah RM36,000. Pihak kementerian menanggung separuh daripada harga itu dan selebihnya perlu ditanggung oleh JMB di sini.
"Namun mereka (JMB Pangsapuri Suci) bernasib baik kerana ada pihak swasta yang sudi menghulurkan bantuan iaitu daripada pihak pengurusan Pasar Seni dengan sumbangan sebanyak RM12,000," katanya lagi.
Kedua-dua sumbangan tersebut disampaikan sendiri oleh Raja Nong Chik kepada pihak JMB Pangsapuri Suci di pangsapuri berkenaan, semalam.
Masalah bekalan air di pangsapuri berkenaan dilaporkan Utusan Malaysia tahun lalu dan Raja Nong Chik telah melawat pangsapuri berkenaan bagi melihat sendiri masalah yang dihadapi penduduk di sana.
Ketika itu masalah yang diutarakan ialah bekalan air dan beberapa masalah lain yang disebabkan kegagalan pentadbiran pemajunya.
Malah, jumlah tunggakan bil air telah mencecah RM130,000 ketika itu.
"Namun begitu, atas budi bicara pihak Syabas semasa saya berunding dengan mereka, Syabas telah sudi untuk memberi diskaun kepada penduduk di sini.
"Kini mereka hanya perlu membayar RM37,000 sahaja iaitu pengurangan hampir RM100,000. Terima kasih kepada pihak Syabas," ujar Raja Nong Chik lagi.
Selain menyampaikan wang sumbangan berkenaan, Raja Nong Chik juga merasmikan surau baru di pangsapuri berkenaan.
Pangsapuri setinggi 18 tingkat itu mempunyai 314 unit rumah, merupakan pangsapuri pertama yang menerima bantuan daripada Tabung Penyenggaraan 1Malaysia sejak tabung itu diperkenalkan.
"Saya berharap selepas ini penduduk di pangsapuri ini memberikan kerjasama dengan membayar yuran penyenggaraan setiap bulan bagi memudahkan JMB menjalankan tugas dan membayar bil-bil yang ada tanpa ada tunggakan," ujarnya.