SEREMBAN 28 April - Majlis Perbandaran Nilai (MPN) hari ini menjelaskan kerja-kerja penyenggaraan di Rumah Pangsa Kos Rendah dan Sederhana Taman Semarak, Nilai, dekat sini diuruskan oleh Badan Pengurusan Bersama (JMB).
Yang Dipertuanya, Datuk Abd. Halim Abd. Latiff berkata, bagi Rumah Pangsa Kos Rendah Taman Semarak Fasa 2, dua JMB telah ditubuhkan di bawah Akta Bangunan dan Harta Bersama (Penyenggaraan dan Pengurusan) 2007 (Akta 663).
''Di bawah akta berkenaan, semua bangunan bertingkat yang tertakluk di bawah Akta Hakmilik Strata perlu mewujudkan JMB bagi menguruskan perihal penduduk mengikut tugas dan tanggungjawab yang diperuntukan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Tambahnya, buat masa ini JMB yang ditubuhkan itu belum aktif menjalankan tugas mereka mengikut peruntukan dalam akta berkenaan.
''Bagi JMB di Rumah Pangsa Kos Rendah Taman Semarak Fasa 2, dua JMB telah diwujudkan di situ, di mana satu JMB menguruskan 980 unit petak (rumah) dari blok 1 hingga 4 dan blok 9 hingga 18.
''Manakala satu lagi JMB menguruskan 280 unit petak melibatkan blok 5 hingga 8 di situ," ujarnya.
Sementara di Rumah Pangsa Kos Sederhana Taman Semarak Fasa 2 pula ia turut melibatkan dua lagi JMB dengan satunya mengendalikan blok A dan B, melibatkan 112 unit petak (rumah).
''Satu lagi JMB di situ menguruskan blok C dan D, juga melibatkan 112 unit petak," tegasnya.
Abd. Halim memberitahu, di bawah peruntukan akta tersebut, JMB sepatutnya menjadi sebuah jawatankuasa yang ditadbir oleh pemilik petak (penduduk) dalam mengurus dan menyenggara bangunan berkenaan.
''Tertakluk pada Akta 663 di bawah Seksyen 8 subseksyen (1) dan (2), tugas dan kuasa JMB amat penting bagi kerja penyenggaraan dan pengurusan setiap bangunan bertingkat sementara menunggu hakmilik strata didaftarkan dan Perbadanan Pengurusan (MC) ditubuhkan," ujarnya.
Katanya, di bawah akta sama di bawah Seksyen 3 subseksyen (1) ia turut menerangkan peranan Pesuruhjaya Bangunan di bawah pihak berkuasa tempatan iaitu menguatkuasakan undang-undang berpandukan kuasa yang diberikan kedua-dua Akta 663 tersebut.
Sehubungan itu Abd. Halim menjelaskan, melalui perbualan telefon MPN dengan pengerusi JMB blok 1 hingga 4 dan blok 9 hingga 18, pihak MPN telah membantu dalam menjalankan kerja pemotongan dan pembersihan rumput di taman tersebut.
''Melalui perbualan dengan pegawai MPN bersama pihak BBN Development Sdn. Bhd., pihak pemaju juga masih menjalankan kerja pemotongan rumput di sebahagian kawasan berkenaan," jelasnya.
Apa yang pasti kata Abd. Halim, setiap JMB bertanggungjawab untuk menguruskan harta bersama seperti kawasan tangga, koridor, lobi, pelongsor sampah, tong sampah, parit, tangki air, pembentungan, paip dan padang permainan.
Begitu juga dengan tempat letak kereta, tembok atau pagar serta mana-mana kawasan yang dinikmati bersama setiap pemilik petak (rumah) di kawasan tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan